Pengurus Burnley, Sean Dyche, menafikan laporan yang mengaitkan dirinya dengan jawatan di Everton sambil menyifatkannya sebagai "kisah daripada orang lain".

Everton memecat Ronald Koeman selepas tewas 2-5 di tangan Arsenal, Ahad lalu, sekaligus meletakkan The Toffees kini berada di tangga ke-18 liga.

David Unsworth mengambil-alih jawatan itu buat sementara dan mengemudi pasukan ketika tewas 1-2 di tangan Chelsea dalam saingan Piala Carabao pada awal pagi semalam.

Unsworth mendedahkan dirinya terbuka untuk menerima jawatan itu secara tetap, namun dalam masa sama nama Dyche dikaitkan untuk meninggalkan Burnley.

Dalam satu sidang media menjelang pertemuan dengan Newcastle United pada Isnin, bekas pengendali Watford itu menyifatkan isu itu hanyalah perkara kecil baginya.

"Tiada apa yang berubah. Saya menjelaskan pada minggu lepas bahawa terdapat beberapa laporan yang mengaitkan anda dengan pasukan lain tetapi anda gembira kerana hasil kerja anda mendapat perhatian ramai.

"Tiada apa yang disembunyikan. Itu adalah cerita daripada orang ramai dan bukan daripada saya. Bagaimanapun, saya tidak kisah apabila ditanya," katanya.

"Saya telah melaluinya beberapa kali tetapi akan meneruskan apa yang dilakukan di sini," tambahnya.

Kemenangan ke atas Newcastle akan menjarakkan mereka sebanyak tujuh mata dengan pasukan lawan dan Dyche percaya kestabilan dalam pasukan yang dibina selama lima tahun serta komitmen daripada pemain-pemain adalah faktor utama kepada kejayaan kelab itu.

"Saya terkejut berada di sini selama lima tahun tetapi saya rasa peminat-peminat tidak mahu menukar pengurus setiap minggu.

"Saya mahu berterima kasih kepada semua pemain dan peminat sejak dulu sehingga kini di atas kerja keras yang ditunjukkan," tambahnya.