Pengurus Burnley, Sean Dyche, percaya bahawa James Tarkowski masih mampu untuk terus berkembang selepas melakukan penampilan pertama buat skuad kebangsaan England.

Prestasi memberangsangkan daripada Tarkowski membolehkan Gareth Southgate menyenaraikannya bagi aksi persahabatan berdepan Belanda sebelum diletakkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Itali yang berkesudahan seri 1-1 di Wembley.

Walaupun didakwa menjatuhkan Federico Chiesa sehingga memberikan sepakan penalti dan membolehkan Lorenzo Insigne menyamakan kedudukan buat Azzurri, Southgate menyifatkan pemain berusia 25 tahun itu seorang pemain yang bagus memegang bola dan satu penambahan yang baik buat pasukan.

Tarkowski dan Burnley akan berdepan West Bromwich Albion esok dan Dyche percaya bahawa pertahanan itu akan terus berkembang dengan baik.

"Banyak lagi yang mampu dibuktikan oleh Tarkowski. Saya percaya dia akan memberi kebaikan buat Burnley dan England," kata Dyche.

"Saya benar-benar teruja dengan persembahannya dan untuk beraksi buat England, ia bukan satu perkara yang mudah.

"Beraksi di tempat sendiri buat The Three Lions dalam penampilan pertama, ia tentu memberikan cabaran sukar. Bermain di benteng dengan tiga pertahanan, ia juga susah.

"Saya tahu sukar untuk mendapatkan tempat tetapi dia berpeluang untuk ke Piala Dunia. Sama-sama kita saksikan," tambahnya.