Massimiliano Allegri memberi jaminan Paulo Dybala berkemampuan untuk membuktikan dirinya setaraf dengan Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Neymar.

Pengendali Juventus, Allegri, berasakan bintang Argentina itu berpotensi untuk berdiri sebaris dengan trio elit dunia berkenaan selepas mempamerkan aksi yang cemerlang pada permulaan musim ini.

Dybala hadir sebagai pemain gantian untuk menjaringkan gol ketika Juve meraih kemenangan 3-0 ke atas Chievo untuk gol kelimanya dalam tiga perlawanan Serie A, musim ini.

Allegri, yang bakal berdepan Barcelona pertengahan minggu ini, memuji kebolehan yang dimiliki oleh pemain berusia 23 tahun itu.

"Dybala masih lagi memperbaiki kualiti permainannya dan mampu untuk berada dalam kalangan pemain-pemain terbaik dunia seperti Neymar, Ronaldo dan Messi," katanya.

"Masa depannya terletak pada Juve dan saya sangat gembira dengan perkembangannya."