Pengurus Brighton & Hove Albion, Chris Hughton, berasa kepercayaan dan disiplin yang tinggi adalah dua faktor utama pasukannya dapat mengesahkan cabaran dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim depan.

Jaringan Pascal Gross dalam babak kedua membolehkan Brighton menundukkan Manchester United 1-0 di laman sendiri pada awal pagi tadi, sekali gus menamatkan rentetan enam perlawanan tanpa kemenangan sebelum ini dan melonjakkan The Seagulls ke tangga ke-11 liga.

Bagi Hughton, Anthony Knockaert wajar diberikan pujian selepas mempamerkan aksi mantap ketika berdepan finalis Piala FA itu.

“Saya memiliki kelompok pemain yang berdisiplin dan sentiasa berkeyakinan,” katanya kepada Sky Sports.

“Kami telah belajar dalam beberapa perlawanan sebelum ini bahawa kami mampu bersaing dan ia telah membuatkan seluruh pasukan berasa yakin.

“Apabila kami memerlukannya, ia terbukti sewaktu aksi di Old Trafford, mengikat Tottenham Hotspur dan menewaskan Arsenal di sini,” tambahnya.

“Kami yakin boleh bersaing dengan pasukan besar berbekalkan sedikit faktor nasib tetapi malam ini, kami beraksi hebat.

“Knockaert jelas membuktikan bahawa dia berusaha keras untuk pasukan. Kebolehan yang dimiliki membuatkannya terus berkembang. Musim lalu, dia beraksi lebih baik tetapi persembahan pada malam ini sangat memukau.”