TOTTENHAM 2 CHELSEA 0

Pertahanan Tottenham Hotspur, Eric Dier, mengakui berasa puas hati apabila berjaya menyekat kemaraan 13 kemenangan berturut-turut Chelsea dengan kutipan tiga mata di White Hart Lane.

Dua gol menerusi tandukan pada babak pertama dan kedua oleh bintang muda Spurs, Delle Alli, mengesahkan kemenangan 2-0 ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.

"Perlawanan ini sangat bermakna kepada kami," ujar Dier, yang beraksi di bahagian pertahanan di samping Toby Alderweireld dan Jan Vertonghen bagi menyamai formasi 3-4-3 diterapkan Chelsea.

"Kami mempunyai sejarah pahit berdepan Chelsea sejak musim lalu sehingga kami tewas dalam pertemuan pertama musim ini.

"Namun, berjaya menyekat rekod 13 kemenangan berturut-turut cukup manis, tambahan pula kami berjaya merapatkan jurang mata.

"Ada perkara lebih besar daripada mengekang asakan mereka. Kami mahu beraksi dengan lebih baik dan kemenangan ini membuktikan keazaman kami. Saya berharap kami mampu pergi lebih jauh."

Alli kini telah menyumbang tujuh gol selepas empat perlawanan dan dia berasakan, mengekang kemaraan Chelsea sebagai satu kenyataan berani.

"Ini adalah perlawanan yang cukup besar. Semua pihak tahu, termasuk pihak pengurusan dan penyokong, akan kepentingan perlawanan ini," jelasnya.

"Kami berjuang habis-habisan sebaik tiupan wisel pertama dibunyikan.

"Meskipun kemenangan ini umpama satu kenyataan besar daripada kami, namun kami gembira untuk tidak terlalu menonjol sepertimana kami lakukan musim lalu."

Saksikan sorotan perlawanan Tottenham lwn Chelsea