Antonio Conte percaya masalah disiplin Diego Costa di atas padang bukan lagi satu isu selepas dia mempamerkan kematangan sejak permulaan musim 2016-17 Liga Perdana Inggeris.

Penyerang antarabangsa Sepanyol itu dikenali dengan sifatnya yang panas baran dan gemar terlibat dalam pergaduhan dengan pasukan lawan, dengan pengulas sering kali berkata ia mampu menggugat karier pemain itu.

Setakat ini, Costa telah mengutip empat kad kuning, namun pemain berusia 28 tahun itu tampil lebih tenang dan bijak mengawal barannya.

Conte turut memuji Costa ekoran tidak mempedulikan kritikan yang dilontarkan terhadapnya pada awal musim tatkala pemain itu sudah pun meledak 10 gol setakat ini.

"Saya sangat gembira dengan Diego," Conte berkata menjelang aksi berdepan Manchester City pada Sabtu.

"Dia mula mempamerkan semangat yang positif di atas padang. Perkembangan ini sangat baik buat dirinya dan rakan sepasukan.

"Ketika di awal musim, timbul persoalan mengenai sifatnya yang dianggap tidak baik, namun saya melihat perkara itu sudah berlalu kerana dia bermain dengan cukup baik ketika ini."