Penjaga gol, Maarten Stekelenburg, berjanji akan membantu dalam memastikan rakan sepasukannya, Jordan Pickford, mengekalkan prestasi selepas menandatangani kontrak baru.

Pickford, 24, beraksi dalam kesemua aksi liga buat The Toffees musim lalu dan mencuri perhatian bersama England dalam saingan Piala Dunia, di mana mereka melangkah sehingga peringkat separuh akhir.

Persembahan penjaga gol itu dikatakan hasil daripada pengalaman yang dimiliki Stekelenburg dalam memainkan peranan selaku penjaga gol gantian dalam musim kedua di Goodison Park.

Bagaimanapun, pemain Belanda berusia 35 tahun itu yang baru diberikan kontrak lanjutan selama dua tahun, berhasrat untuk melakukan apa sahaja untuk membantu penjaga gol nombor satu itu.

"Pickford melalui musim 2017/18 dengan cemerlang dan beraksi hebat buat England dalam Piala Dunia," kata Stekelenburg.

"Saya faham akan peranan saya dan akan cuba untuk bersaing dengan Pickford untuk membolehkannya meneruskan prestasi cemerlang dan terus berkembang.

"Bagi saya, tahun lalu agak sukar kerana saya berdepan masalah kecederaan dan memerlukan beberapa bulan untuk pulih.

"Kini, saya cergas dan beraksi dalam aksi pra-musim. Saya tidak sabar untuk menunggu Pickford pulang, jadi kami boleh bersaing."

Everton dijangka akan memulakan perbincangan dengan Pickford mengenai kontrak baru selepas dikatakan menjadi buruan seteru Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

Pickford menyertai Everton dari Sunderland pada Jun tahun lalu melalui perpindahan bernilai GBP25 juta (RM33 juta) hingga GBP30 juta (RM159 juta).