NORWICH CITY 0 WATFORD 2

Gerard Deulofeu menghasilkan satu gol dan satu bantuan jaringan untuk membantu Watford meraih kemenangan pertama dalam Liga Perdana Inggeris musim ini selepas menewaskan Norwich City 2-0 di Carrow Road awal pagi tadi.


Penyerang itu menemui sasaran seawal minit kedua sebelum membantu jaringan Andre Gray dalam babak kedua.

Christian Kabasele diarahkan keluar padang pada minit ke-65, namun Watford kental bertahan untuk memintas Norwich dan Southampton di tangga ke-18 liga.

Deulofeu menjaringkan gol pada 76 saat pertama, rekod kedua terpantas Watford dalam Liga Perdana, ketika mencuri bola daripada Emiliano Buendia sebelum memperdayakan penjaga gol lawan, Tim Krul.

Norwich jelas tumpul di bahagian serangan dan kegagalan mereka memberikan ancaman dihukum Watford pada minit ke-52 apabila Gray melakukan kuisan tumit untuk menyudahkan hantaran lintang Deulofeu, yang sempat terbias ke badan Jamal Lewis.

Kabasele kemudian dilayangkan kad kuning kedua selepas menolak Josip Drmic ke tepi padang, namun skuad kendalian Quique Sanchez Flores itu kental bertahan dengan 10 pemain untuk meraih kemenangan pertama sejak menewaskan Huddersfield Town 2-1, 20 April lalu.