Depay tekad kekal dan rebut peluang di United

By Stefan Coerts 14 November 2016 61
Depay tekad kekal dan rebut peluang di United
Memphis Depay melaungkan keazamannya untuk merebut tempat di Manchester United selepas bos Everton, Ronald Koeman, mendedahkan beliau berminat untuk memancing pemain kebangsaan Belanda itu pada jendela perpindahan Januari nanti. 

Pemain berusia 22 tahun itu bergelut untuk mengukuhkan posisinya dalam skuad utama di Old Trafford dalam kempen musim ini dan pengurus kelab, Jose Mourinho, dilaporkan bersedia melepaskan bekas bintang PSV Eindhoven berkenaan.

Depay membuktikan keupayaannya ketika Belanda meraih kemenangan 3-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia ke atas Luxembourg dengan meledak dua gol pada separuh masa kedua untuk membantu pasukannya memungut tiga mata dan dia berharap dapat meneruskan momentum itu bersama United. 

"Adakah Everton merupakan satu pilihan? Saya tidak boleh berkata apa-apa mengenainya. Saya hanya fokus dengan United. Itu perkara paling mustahak bagi saya," kata Depay kepada NOS. 

"Saya tidak tahu apa-apa. Kita perlu tunggu dan lihat. Ketika ini, saya memberi tumpuan kepada Manchester United.

"Saya akan kembali ke kelab, mencurahkan segalanya dan berusaha gigih dalam sesi latihan dengan harapan untuk mendapatkan peluang bermain. Saya berharap dapat meneruskannya di United. 

"Saya kembali ke United dengan fikiran yang berbeza. Sudah pasti saya gembira. 

"Saya sangat gembira dapat menjaringkan dua gol. Semuanya berjalan lancar. Saya berasa berkeyakinan. 

"Kami perlu tunggu dan lihat sama ada (persembahan bersama Belanda) akan membantu saya kembali ke landasan sebenar.

"Saya cuma gembira berpeluang beraksi dan kami meraih kemenangan."

About Author

Stefan Coerts

Comment

Read Next

Semmy tekad hukum Malaysia di Shah Alam

By 14 November 2016. 5.09 AM