Jose Mourinho menekankan bahawa Memphis Depay masih mampu menyelamatkan kariernya di Old Trafford jika dia memilih untuk kekal bulan ini.

Pemain antarabangsa Belanda itu sekadar membuat empat penampilan dalam Liga Perdana Inggeri musim ini, sekaligus dikaitkan dengan perpindahan, antaranya ke Everton yang berminat dengan khidmatnya.

United masih belum menerima sebarang tawaran ketika ini, namun Mourinho menjelaskan dia tidak kisah jika pemain berusia 22 tahun itu mahu kekal.

"Kami memiliki ramai pemain yang bermain di posisi Memphis," Mourinho memberitahu Fox Sports.

"Kami ada Jesse Lindgard, Henrikh Mkhitaryan, Juan Mata dan Marcus Rashford antara lain. Jadi bukan mudah untuk mendapat tempat.

"Saya dimaklumkan oleh pihak pengurusan bahawa ada kemungkinan Memphis akan berhijrah. Saya tidak boleh menghalang keputusannya, apatah lagi dia jarang mendapat peluang beraksi.

"Jika dia mahu kekal, kami akan berasa gembira kerana dia seorang yang baik. Saya berasa kesal kerana tidak memberikannya peluang, apatah lagi pada usia muda ini dia perlu bermain dengan kerap."