Jason Denayer menuduh Manchester City memaksanya dipinjamkan ke pendatang baru LaLiga, Girona, tanpa kerelaannya dan menolak hasratnya untuk berpindah secara kekal.

Pemain antarabangsa Belgium itu yang menjadi sebahagian pemain City sejak 2013, bagaimanapun tidak pernah tampil di peringkat senior dalam sebarang kejohanan dan menghabiskan tempoh tiga musim lalu dengan dipinjamkan ke Celtic, Galatasaray dan Sunderland.

Dengan peluang sangat terhad di bawah kendalian Pep Guardiola, Denayer sekali lagi dipindahkan sementara biarpun dia menyatakan hasrat untuk menyertai pasukan Ligue 1, Lyon -- langkah yang disekat oleh City.

Denayer memberitahu Sport Voetbalmagazine: "Man City enggan menjual saya atau tidak bersetuju dengan syarat kelab yang berpontensi: klausa belian semula yang sama harga dengan harga jualan.

"Itu bermakna kelab lain tidak mahu mengikat saya secara kekal dan cenderung untuk mendapatkan saya secara pinjaman. Saya tidak menentang perjanjian terbaru ini, namun saya mahu membuat pilihan destinasi.

"Saya dan kelab pilihan telah mencapai kata sepakat, namun City menafikan perpindahan itu dan menolak saya ke Girona... kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku dalam beberapa minggu akan datang.

"Andai situasi ini tidak dapat diselesaikan, saya akan menyertai Girona, tetapi bukan dengan jiwa dan raga.

"Saya lebih senang tidak menyertai Girona. Bukan kerana saya mengeruhkan keadaan tetapi saya mahu beraksi bersama pasukan yang mendominasi.

"Bukan hanya setakat untuk membuktikan keupayaan, malah meningkatkan prestasi sendiri. Saya mempunyai keutamaan tertentu dalam pilihan karier saya.

"Yang utama, sebuah kelab yang beraksi dalam liga utama. Malah, di sebuah kota dan penyokong yang bagus di mana mereka menghidupkan suasana di laman sendiri.

"Faktor kewangan menjadi perkara terakhir. Masalah dengan Girona adalah kelab itu baru sahaja dipromosi ke LaLiga dan ia merupakan bandar kecil.

"Bukan itu yang saya cari."