Pengendali Manchester City, Pep Guardiola, mengesahkan Fabian Delph terpaksa direhatkan buat
sementara waktu selepas mengalami kecederaan lutut ketika tewas 3-4 di tangan Liverpool, awal
pagi tadi.


Alex Oxlade-Chamberlain dan Leroy Sane menjadikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam babak
pertama sebelum barisan pertahanan yang goyah menyebabkan Roberto Firmino, Sadio Mane dan
Mohamed Salah meletakkan The Kop selesa mendahului 4-1.

Bernardo Silva dan Ilkay Gundogan cuba untuk meneruskan kebangkitan City, namun segala-galanya
sudah terlambat untuk Citizens mengelakkan kekalahan pertama liga dalam 23 perlawanan.

Delph yang mengharungi musim cemerlang sejak ditukarkan posisi ke pertahanan kiri, terpaksa
digantikan oleh Danilo ketika skuad bimbingan Jurgen Klopp itu mendahului 1-0 selepas mengalami
kecederaan lutut ketika menghalang pergerakan Oxlade-Chamberlain.

Malangnya, Danilo jelas tidak mampu menterjemahkan aksi yang dipamerkan Delph sebelum ini hingga
membuat Guardiola mungkin terpaksa memikirkan pilihan untuk mendapatkan pemain di posisi
itu pada jendela perpindahan yang kini dibuka.

"Dia akan direhatkan," kata Guardiola.

"Untuk sementara, Delph terpaksa diketepikan tetapi tempoh masa yang diperlukan masih belum
diketahui.

"Kecederaan yang dialaminya melibatkan lutut," tambah Guardiola.