Penyerang Bournemouth, Jermain Defoe, berkata dia mampu membawa England menjuarai Piala Dunia jika dia dibawa ke Russia, Jun nanti.

Defoe bergelut untuk mendapatkan masa bermain di Bournemouth walaupun pemain berusia 35 tahun itu menjaringkan gol penyamaan ketika seri 2-2 dengan Watford dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Defoe tidak tampil dalam kesebelasana utama bagi saingan EPL sejak Disember lalu. Mengakui kecewa dengan situasi itu, dia bagaimanapun yakin mampu memberikan impak untuk England jika dipanggil oleh Gareth Southgate.

"Saya akan beraksi dan memenangi Piala Dunia untuk England," kata Defoe.

"Anda beraksi untuk satu atau dua minit, jika peluang hadir, anda mampu menjaringkan gol.

"Saya kembali ke EPL untuk kembali bekerja keras dan mendapatkan semula tempat dalam skuad kebangsaan.

"Saya terlepas tiga aksi sebelum ini kerana masa bermain yang semakin terhad," ujarnya.