Penjaga gawang Manchester United, David de Gea, berkata kelab itu memerlukan masa untuk menawan Liga Perdana Inggeris (EPL) di sebalik berbelanja besar dalam pasaran pemain.

Skuad kendalian Jose Mourinho itu berada di tangga keenam liga -- 14 mata di belakang pendahulu, Chelsea -- sekalipun membelanjakan hampir GBP150 juta (RM834j) untuk mendapatkan Paul Pogba, Eric Bailly dan Henrikh Mkhitaryan.

De Gea, yang disoal mengapa pasukan seperti Tottenham Hotspur, Arsenal dan Liverpool kini mendahului United biarpun kurang berbelanja, tonggak Sepanyol itu mendakwa semua kelab mengeluarkan dana dan yakin corak permainan United semakin meningkat.

"Inilah bola sepak," kata De Gea kepada AS.

"Semua kelab tetap berbelanja. Ada perpindahan yang menjadi dan ada yang tidak.

"Pasukan ini memerlukan masa untuk menyesuaikan diri berikutan ketibaan muka baru.

"Kami semakin bagus tapi kami harus beri pasukan ini masa untuk kembali memenangi EPL.

"Kami sudah layak ke perlawanan akhir Piala Liga Inggeris dan kami masih berjuang dalam kempen Piala FA dan Liga Europa.

"Itu juga salah satu cara untuk memenangi gelaran dan mencatat sejarah bersama kelab."

Meskipun mengakui Red Devils tidak akan menjangkau trofi EPL musim ini, De Gea menegaskan fokus utamanya adalah untuk menembusi kelompok empat pasukan terbaik sebelum perlawanan terakhir musim ini.

"Kami dalam kemuncak prestasi ketika ini," tambahnya.

"Kami tidak kalah dalam 15 perlawanan liga.

"Pasukan ini melaksanakan tugas dengan baik dan kami harus terus bekerja keras untuk kembali ke kelompok empat terbaik secepat mungkin.

"Bagi permulaan musim baru untuk kelab besar seperti ini, dengan pemain dan jurulatih baru yang dimiliki, sudah tentu kami mahu memenangi EPL.

"Ketika ini, perkara itu dilihat sukar tapi kami harus menamatkan saingan musim ini sebaik mungkin."

United bakal berhitung dengan Watford, esok.