David de Gea berhasrat untuk mengetuai Manchester United pada masa depan apabila dia dilaporkan semakin hampir memeterai kontrak baru.

Pemain berusia 28 tahun itu dikatakan di ambang menandatangani perjanjian baru selama enam tahun yang bakal menyaksikannya muncul sebagai penjaga gawang yang menerima gaji tertinggi di dunia.

Pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, belum menamakan ketua pasukan tetapnya susulan pemergian Antonio Valencia, akhir musim lalu.

De Gea, yang telah berkhidmat selama lapan tahun di Old Trafford, telah meletakkan dirinya sebagai calon untuk peranan berkenaan.

"Saya pernah dilantik sebagai kapten dalam beberapa perlawanan," katanya.

"Sudah tentu ia sesuatu yang menakjubkan untuk menjadi ketua pasukan kepada sebuah kelab seperti Manchester United dan mempertahankan lencana ini. Ia sesuatu yang luar biasa, jadi sudah tentulah saya sangat gembira sekiranya dilantik sebagai ketua pasukan."

De Gea merupakan salah seorang tonggak United yang memperagakan prestasi memberangsangkan tatkala mereka mengharungi musim sukar susulan persaraan Alex Ferguson pada 2013, iaitu kali terakhir mereka memenangi Liga Perdana Inggeris.

Dia pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kelab sebanyak empat kali selain terpilih dalam barisan Pasukan Terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) dalam lima musim.

Bagaimanapun, beberapa kesilapan berprofil tinggi membayangi sumbangannya dalam musim sukar 2018-19 yang menyaksikan The Red Devils menamatkan kempen liga di tangga keenam serta tanpa trofi.

Sehubungan itu, De Gea mengakui terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan untuk mereka kembali meletakkan pasukan itu di kedudukan yang sepatutnya.

"Kami perlu memperbaikinya, kami adalah Manchester United, kami perlu berjuang untuk trofi," katanya.