David De Gea bukan satu nama yang tidak boleh digantikan selepas masa depan bintang Sepanyol itu terus menjadi tanda tanya, kata bekas penjaga gol Manchester United, Edwin Van Der Sar.

De Gea dikatakan bakal menandatangani kontrak jangka panjang bersama United, namun penjaga gol itu masih belum menyatakan persetujuan dengan kelab Liga Perdana Inggeris yang sedang bergelut itu.

Dia -- yang tiba daripada Atletico Madrid pada 2011 -- bakal menuju pengakhiran kontrak pada penghujung musim ini dan dikaitkan dengan gergasi Serie A, Juventus, selepas masih belum menandatangani kontrak yang ditawarkan.

Van Der Sar -- yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ajax -- telah memenangi empat kejuaraan liga dan satu Liga Juara-Juara Eropah bersama United dan bekas pemain berusia 48 tahun itu berkata De Gea tetap boleh digantikan walaupun kualiti yang dimilikinya diakui hebat.

"Penjaga gol lain juga boleh mengisi kekosongan itu," katanya.

"Terdapat beberapa penjaga gol dalam Liga Perdana Inggeris yang beraksi bersama kelab mampu menggantikannya.

"Pada usia 34 tahun, saya ke United dan terdapat banyak peluang dalam pasukan.

"Keputusan perlu dibuat dalam sesetengah situasi. Ia sudah mengambil masa yang lama dan kini, ia sama ada 'ya' atau 'tidak' tetapi saya bukan pengarah United."

Prestasi De Gea menjadi persoalan selepas beberapa kesilapan mudah dilakukan pada penghujung musim lalu sambil dia seharusnya mampu melakukan sesuatu ketika Crystal Palace menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan, bulan lalu.

Namun, Van Der Sar menambah: "Ia berlaku kepada saya, Ryan Giggs dan orang lain.

"Prestasi anda memberi perbezaan. Dia sudah berada di tahap tertinggi bagi tempoh yang lama, jadi penurunan prestasi akan disedari. Mungkin dalam dua aksi pertama tetapi orang ramai mula mengingatinya. Namun, dia akan baik kerana dia seorang penjaga gol hebat."

United -- yang hanya memenangi satu daripada empat aksi liga setakat ini -- akan menyambung kempen liga dengan melayan kunjungan Leicester City, esok, selepas tempoh rehat antarabangsa.