Alexis Sanchez mungkin telah menolak Manchester City untuk menyertai kelab tetangga, Manchester United, tetapi Kevin De Bruyne dan kelab pendahulu Liga Perdana itu langsung tidak terkesan.

Sanchez diura-urakan akan menyertai Pep Guardiola di City sebelum penyerang antarabangsa Chile itu memilih untuk meninggalkan Arsenal ke United dengan tawaran lumayan.

Pemain tengah Belgium, De Bruyne – yang menandatangani kontrak baru sehingga 2023 – menegaskan City masih sebuah pasukan yang baik tanpa bekas bintang Barcelona itu.

“Tidak mengapalah,” kata De Bruyne. "Kami masih melakukan apa yang perlu kami lakukan, baik bersama atau tanpa dia.

“Dia memilih United. Baiklah, terdapat ramai pemain yang bagus. Jika mereka mahu datang, mereka harus datang. Jika tidak, kami akan melakukannya bersama pasukan kami.”

City kini 12 mata mengatasi United di tangga teratas Liga Perdana selepas 24 perlawanan.

De Bruyne dan rakan-rakan sepasukannya akan berdepan Cardiff City dalam saingan Piala FA, Ahad ini, sebelum menanti kunjungan West Brom dalam Liga Perdana, Rabu depan.

Sanchez pula mungkin melakukan penampilan sulungnya dalam jersi United di Yeovil Town esok menjelang kunjungan ke Tottenham dalam saingan liga pertengahan minggu depan.