De Bruyne terlepas aksi 'derby', Guardiola berhati-hati

By Staff Writer 24 April 2019 1198
De Bruyne terlepas aksi 'derby', Guardiola berhati-hati
Manchester City perlu belajar untuk menguruskan tahap kecergasan Kevin De Bruyne menjelang musim depan, kata Pep Guardiola, yang akan kehilangan pemain tengah itu menjelang aksi 'derby' dengan Manchester United, awal pagi esok.

De Bruyne dikeluarkan gara-gara kecederaan lutut ketika berdepan Tottenham Hotpsur, Sabtu lalu, dan akan terlepas aksi di Old Trafford walaupun Guardiola berharap pemain tengahnya itu masih dapat diturunkan sebelum tamat musim ini.

Kecederaan itu merupakan yang terbaru dalam siri kecederaan pemain berusia 27 tahun itu musim ini -- hanya melakukan 30 penampilan buat City dalam kesemua kejohanan musim ini, termasuk 11 sebagai kesebelasan utama dalam Liga Perdana Inggeris.

Guardiola mengesahkan yang City akan menilai semula cara mereka menggunakan De Bruyne pada masa akan datang bagi memastikan pemain itu tidak akan mengalami kecederaan sama musim depan.

"Ia masalah otot dan kami akan menilainya esok," katanya dalam sidang media.

"Dia semakin pulih, namun dia tidak akan diturunkan (awal pagi esok).

"Malangnya, dia sentiasa mengalami kecederaan.

"Sebelum ini, dia sudah pulih, terutama daripada masalah otot, namun kini dia mengalami dua atau tiga kecederaan berkaitan lututnya.

"Dengan kesemua kejohanan yang kami perlu lalui di England, kami tidak mempunyai masa untuk melakukan persediaan ketika mereka kembali daripada kecederaan.

"Ia bukan cara terbaik.

"Dia mempunyai keluarga yang penyayang, hidupnya diaturkan dengan latihan, berehat dan bersedia untuk perlawanan yang akan datang.

"Kami akan berbincang dengan pihak doktor dan semua orang agar masalahnya selesai dan dia akan sentiasa cergas.

"Itulah yang akan kami lakukan sekarang," katanya.

Ketiadaan De Bruyne jelas dirasai City sepanjang musim ini dengan perebutan kejuaraan Liga Perdana dengan Liverpool semakin menghampiri kemuncak.

Kemenangan di Old Trafford akan memastikan City memintas kembali seteru mereka itu dengan hanya tiga perlawanan berbaki musim ini.

Guardiola, bagaimanapun, tidak memperkecilkan suasana perlawanan di Old Trafford itu.

"Tinggal empat perlawanan lagi dan kami perlu mememanginya untuk meraih kejuaraan.

"Ia bukan tempat yang mudah untuk kami beraksi, namun dalam masa sama, ia tempat yang baik untuk dikunjungi.

"Kami tahu apa yang kami perlu lakukan.

"Mereka sedang berjuang untuk merebut empat tangga teratas dan kami pula sedang berjuang untuk merebut kejuaraan.

"Kami akan turun ke sana dan beraksi baik," tambahnya.

About Author

Staff Writer

Comment