Kevin De Bruyne memuji impak rakan sepasukannya di Manchester City, Fernandinho, menjelang kepulangan pemain Brazil itu daripada penggantungan untuk menentang West Ham, esok.

Pemain berusia 30 tahun itu terlepas empat perlawanan terakhir selepas dibuang padang ketika menentang Burnley pada awal Januari tetapi mungkin dimasukkan ke dalam skuad Pep Guardiola untuk kunjungan ke Stadium London.

Dengan City menduduki tangga kelima Liga Perdana Inggeris, De Bruyne juga tidak sabar untuk kembali bersama pasukannya yang mahu menghidupkan peluang memburu gelaran liga.

"Jelas sekali kami kehilangannya," kata pemain antarabangsa Belgium itu.

"Dia merupakan pemain penting sepanjang tempohnya di City. Dia memainkan peranan penting bagi kami di bahagian tengah dan membantu mengatur segala-galanya, ditambah dia juga sangat baik mengawal bola.

"Sekarang dia telah menerima penggantungan dan boleh bermain sekali lagi. Maka ia adalah satu rangsangan besar untuk pasukan selepas terlepas beberapa perlawanan musim ini kerana penggantungan.

"Saya rasa Fernandinho salah seorang pemain tengah terbaik yang pernah saya bermain."

City meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Crystal Palace dalam pusingan keempat Piala FA, tetapi mereka tewas dua perlawanan terakhir liga yang membuat mereka ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, Chelsea.