Pep Guardiola percaya Kevin De Bruyne mampu mencabar anugerah Ballon d'Or sekiranya Manchester City dapat melangkah jauh dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), musim ini.

De Bruyne mempamerkan aksi memukau sepanjang musim ini, termasuk mencipta tiga bantuan jaringan
buat Sergio Aguero ketika membenam cabaran Leicester City 5-1, kelmarin.

Kekalahan 1-0 Manchester United di tangan Newcastle United pada lewat malam tadi menyaksikan
The Citizens kini memegang kelebihan 16 mata di puncak liga, mencerahkan peluang menjulang trofi liga
ketiga dalam masa tujuh tahun.

Mereka bakal berdepan juara Switzerland, Basel, dalam aksi pertama pusingan kedua UCL pada awal
pagi Rabu, memberikan peluang buat pemain tengah Belgium itu membuktikan kebolehannya di peringkat
Eropah.

"Saya tidak ragukannya. Bukan hanya satu perlawanan tetapi De Bruyne beraksi cemerlang sepanjang
musim.

"Dia sedar bahawa untuk mengesahkan status sebagai pemain terbaik, dia harus memenangi kejuaraan,
terutama UCL.

"Anda perlu menjulang trofi UCL untuk membolehkan diri anda dicalonkan," kata Guardiola.

City hanya sekali dapat melepasi pusingan kedua kejohanan pada dua tahun lalu dan Guardiola masih
ingat akan kekalahan di tangan Monaco di peringkat sama, musim lalu.

Walaupun kini berada di prestasi terbaik, pengurus dari Sepanyol itu juga mengambil langkah berjaga-
jaga, terutama selepas dikejutkan Liverpool 4-3 bulan lalu.

"Kami hadir dalam keadaan yang bagus tetapi perlu diingat UCL sentiasa memberikan pengalaman yang
berbeza.

"Ia melibatkan cara anda mengawal emosi dan situasi di luar kawalan," tambahnya.