Pemain Manchester City, Kevin De Bruyne, menjangkakan dapat kembali beraksi sewaktu berdepan Manchester United pada November ini tatkala tonggak tengah itu sedang melalui proses pemulihan daripada kecederaan lutut.

De Bruyne diangkat selaku pemain terbaik pasukan musim lalu, menyaksikan dia membantu mereka menjuarai Liga Perdana Inggeris dan Piala Liga sebelum mengalami kecederaan lutut sewaktu sesi latihan bulan lalu.

Ujian awal mengesahkan dia bakal terlepas aksi selama tiga bulan, sekali gus menyaksikannya bakal terlepas perlawanan pada 11 November bertemu United di Etihad tetapi bintang Belgium itu percaya proses pemulihannya akan sempurna lebih awal.

"Saya masih memerlukan tiga hingga lima minggu tetapi semakin hampir," kata De Bruyne.

"Diharapkan, saya dapat kembali tidak lama lagi, membantu pasukan dan beraksi dengan baik.

"Saya berharap dapat kembali selepas saingan antarabangsa. Saya rasa saya dapat beraksi dalam pertemuan setempat menentang United."

City berdepan deretan perlawanan yang getir dalam bulan Oktober sebelum bertemu United, apabila melayan kunjungan Burnley dan Southampton, bertandang ke laman Tottenham Hotspur serta aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Shaktar Donetsk dua kali.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola itu masih belum tewas dalam lima aksi liga dan ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Liverpool dan Chelsea, tetapi dikejutkan dengan kekalahan 2-1 di tangan Lyon bagi saingan Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.