Frank de Boer menjelaskan Wilfried Zaha sudah mula menjalani program pemulihan daripada kecederaan yang dialaminya, namun masih tiada lagi tarikh untuk pemain itu kembali beraksi untuk Crystal Palace.

Zaha mengalami kecederaan lutut ketika Palace tewas kepada Huddersfield Town dalam aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL), dan De Boer tanpa kelibat pemain berusia 24 tahun itu ketika tewas kepada Liverpool, diikuti dengan kemenangan pusingan pertama Piala EFL ke atas Ipswich Town.

Pemain kebangsaan Ivory Coast itu meledak tujuh gol pada musim 2016-17 tetapi De Boer menegaskan Zaha tidak akan sempat pulih sebelum menerima kunjungan Swansea City di Selhurst Park, Sabtu ini.

"Zaha seorang pemain yang agresif, selepas beberapa hari daripada kecederaan yang dialaminya, kami telah memulakan program pemulihannya," kata De Boer.

"Kami tidak pasti berapa lama yang perlu diambil sebelum dia pulih sepenuhnya."

Ketiadaan Zaha memberikan peluang kepada De Boer untuk cuba menurunkan pemain-pemain seperti Sullay Kaikai dan Jason Eyenga-Lokilo berdepan Ipswich dan beliau memuji prestasi mereka.

"Terdapat beberapa pemain yang masih dibelenggu kecederaan, ada juga pemain yang menantikan peluang untuk turun beraksi.

"Saya memberitahu kepada mereka sebelum perlawanan supaya mempamerkan kebolehan mereka serta cuba memberikan yang terbaik. Persembahan mereka menggembirakan saya."