BURNLEY 1 CRYSTAL PALACE 0

Pengurus Crystal Palace, Frank de Boer, berharap pemain-pemain dapat bangkit selepas mengalami kekalahan keempat berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.


Bekas pengendali Ajax, De Boer, mengambil alih tempat Sam Allardyce di Selhurst Park pada Jun lalu tetapi pasukannya masih belum mendapat sebarang mata atau menjaringkan gol bagi musim 2017-18.

Kekalahan 1-0 kepada Burnley meningkatkan lagi tekanan kepada pengendali kelahiran Belanda itu, yang menegaskan pasukannya telah berusaha untuk mempamerkan aksi terbaik ketika tewas di Turf Moor.

"Semua orang yang berada di stadium yang menonton perlawanan ini, berasakan hanya satu pasukan yang berhak meraih kemenangan," katanya.

"Tetapi inilah bola sepak, kadang-kala apa yang telah diusahakan tidak membuahkan hasil. Tetapi terdapat juga kesilapan yang telah kami lakukan, melepaskan gol mudah dan gagal menjaringkan gol ketika peluang terhidang.

Kesilapan Lee Chung-yong memberikan jaringan tunggal Chris Wodd pada minit ketiga, dengan De Boer mengakui ketinggalan di awal permainan menggugat pasukannya.

"Sukar untuk menjangkakan perkara itu berlaku.

"Saya berasakan kami memiliki peluang untuk menjaringkan gol tetapi pemain-pemain tidak memiliki keyakinan ketika menghadapi perlawanan ini.

"Kami telah mengawal perlawanan ini tetapi gagal mencari sentuhan penyudah.

"Kami berharap pemain-pemain dapat melakar kebangkitan dalam perlawanan akan datang."