Crystal Palace telah memecat Frank de Boer selepas kesemua empat perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris berakhir dengan kekalahan.

Palace menjadi pasukan pertama dalam sejarah liga untuk tewas keempat-empat aksi pembukaan tanpa menjaringkan sebarang gol, lantas membawa kepada pemecatan De Boer, dengan kontrak tiga tahunnya ditamatkan serta-merta selepas 77 hari mengendalikan pasukan itu.

Pengendali kelahiran Belanda itu dilantik Palace pada 26 Jun lalu, menggantikan bekas pengurus England, Sam Allardyce, yang mengumumkan persaraan hujung musim lalu.

Kini bekas pengendali Liverpool dan England, Roy Hodgson, dilaporkan bakal mengisi kekosongan di Selhurst Park.

West Brom merupakan destinasi terakhir pengurus berusia 70 tahun itu sebelum membawa England ke Euro 2012.

Hodgson dilaporkan bakal menandatangani kontrak dua tahun bersama Palace.

Menurut kenyataan kelab: "Crystal Palace telah memutuskan untuk menamatkan kontrak Frank de Boer berkuatkuasa serta-merta.

"Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada Frank di atas dedikasi dan kerja kerasnya bersama kami.

"Pengurus baru akan dilantik dan kami mengucapkan semoga berjaya kepada Frank pada masa akan datang."

De Boer meraih empat kejuaraan Eredivisie dalam tugasan pertamanya selaku jurulatih Ajax tetapi ini merupakan kegagalan keduanya selepas bertahan hanya 85 hari bersama kelab gergasi Serie A, Inter Milan, musim lepas.

Keputusan pengendali berusia 47 tahun itu untuk mengubah corak permainan Palace memakan diri apabila mereka tumpas 3-0 kepada pendatang baru, Huddersfield Town, dalam aksi pembukaan di laman sendiri.