Tom Davies telah menandatangani kontrak jangka masa panjang untuk terus beraksi bersama Everton sehingga 2022 selepas mempamerkan persembahan memberangsangkan pada musim pertamanya di Goodison Park.

Pemain berusia 18 tahun itu telah beraksi sebanyak 16 kali dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan dilihat sebagai pemain muda yang paling berbakat.

Kelajuan, ketangkasan dan kemahirannya telah menjadi senjata buat Davies untuk dipilih beraksi di dalam kesebelasan utama skuad bimbingan Ronald Koeman.

"Davies merupakan pemain muda yang telah mempamerkan peningkatan sejak beberapa bulan ini," kata Koeman.

"Dia beraksi di pentas tertinggi dan gagal mengecewakan pasukan.

"Kami sangat berpuas hati dengan persembahannya. Dia masih muda dan ia sangat baik buat akademi pasukan ini. Ia memberi semangat kepada mereka untuk bekerja keras."

Davies turut gembira dengan persembahannya dan berharap dia dapat memberikan inspirasi kepada generasi akan datang, seperti Wayne Rooney dan Ross Barkley yang memberikan impak kepadanya.

"Ini merupakan peluang kepada saya untuk terus dipilih beraksi di dalam kesebelasan utama Everton dan cuba untuk kekal di sini," kata Davies.

"Sudah menjadi tradisi Everton membawa masuk pemain-pemain muda dan cuba untuk meningkatkan mutu pasukan.

"Saya sering melihat kepada Mikel Arteta, Wayne Rooney dan Ross Barkley. Mereka adalah wira saya dan kini tugas saya untuk memberikan inspirasi kepada pemain-pemain lain."