Ben Davies kekal komited bersama Tottenham selepas bersetuju untuk kekal bersama kelab itu sehinga 2021.

Kontrak lama bek kiri Wales itu bakal berakhir pada 2019, namun bekas pemain Swansea City itu telah pun menurunkan tandatangan untuk memanjangkan tempoh kontraknya.

Davies, yang ketika ini menikmati masanya bersama kesebelasan utama Spurs ekoran ketiadaan Danny Rose, menyertai Dele Alli, Harry Kane, Christian Eriksen, Eric Dier dan Jan Vertonghen dalam menandatangani kontrak baru musim ini.

Dia juga percaya Spurs masih belum mempamerkan kekuatan sebenar, dengan ketika ini menghuni kedudukan kedua liga, 10 mata di belakang pendahulu, Chelsea.

"Saya bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada sebuah kelab yang hebat. Kamu juga boleh lihat kerjasama di antara pemain saban hari semakin baik," kata Davies, yang sudah pun membuat 78 penampilan bersama kelab di utara London itu.

"Sejak Mauricio Pochettino mengambil alih, kekuatan pasukan ini semakin bertambah."