Bekas pengadil, Keith Hackett, mendakwa pengadil perlawanan, Martin Atkinson, tidak memiliki keberanian untuk melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Chelsea, David Luiz, dalam aksi Liga Perdana Inggeris berdepan Manchester United pada Ahad.

"Kesalahan yang layak dilayangkan kad merah melibatkan kekasaran melampau yang mampu menggugat keselamatan pihak lawan dan tindakan Luiz terhadap Marouane Fellaini memenuhi kriteria itu," jelas Hackett menerusi artikel yang dimuat naik di www.telegraph.co.uk.

"Martin perlu ada kepastian 100 peratus untuk membuat keputusan itu tetapi saya tidak pasti mengapa dia berasa ragu-ragu sedangkan dia nampak dengan jelas insiden tersebut.

"Kamu perlu berani membuat keputusan, terutama dalam mengadili perlawanan yang besar."

Hackett berkata Atkinson telah dipengaruhi dengan aura stadium yang dipenuhi penyokong.

"Sebagai pengadil, kamu perlu sedar bahawa kamulah yang perlu menjalankan keadilan.

"Tetapi kesilapan Martin Atkinson tidak mengejutkan saya -- bukan kerana dia seorang pengadil yang tidak bagus -- tetapi dia telah diberikan tugas besar musim ini," tambahnya.

Atkinson telah terlibat mengadili setiap perlawanan Liga Perdana Inggeris pada hujung minggu musim ini, di samping menjadi pengadil bagi aksi Liga Juara-Juara Eropah dan kelayakan Piala Dunia.

"Masalah utama ketika ini disebabkan kurangnya pengadil berkaliber di England, selain Atkinson, Liga Perdana Inggeris hanya mempunyai Mark Clattenburg, Mike Dean, Michael Oliver, Andre Marriner dan Anthony Taylor."