Gary Neville tampil mempertahankan Jose Mourinho selepas kelab itu masih lagi terumbang-ambing musim ini dan melontarkan pandangan bahawa pengurus Portugis itu menerima kritikan yang tidak adil.

United kini menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris selepas 11 perlawanan serta ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Neville menganggap Mourinho berhak untuk diberi lebih masa untuk mengubah situasi itu meskipun dia percaya bekas bos Real Madrid itu berdepan tugas getir.

"Anda mendengar perkara mengarut seperti; 'Adakah beliau sudah kehilangan sentuhan magisnya?'

"Beliau memenangi liga 18 bulan lalu, beliau merupakan salah seorang pengurus paling berjaya dan masih muda dalam bidang pengurusan," kata Neville kepada Sky Sports.

"Andai Manchester United memenangi empat perlawanan berikutnya, Mourinho akan dianggap sebagai seorang yang genius.

"Pada hari ini, kita terlalu cepat menghukum pengurus, jurulatih, pemain dan khususnya kepada mereka yang memiliki reputasi dalam tempoh yang lama.

"Biarkan beliau melakukan kerjanya. Pada pandangan saya, beliau tidak menunjukkan bahawa beliau tidak berkemampuan untuk berjaya di sini.

"Adalah penting untuk kelab mengekalkan Jose dalam tempoh tiga tahun, biar beliau melaksanakan tugasnya.

"Sudah terbukti ia tugas sukar, lebih sukar daripada jangkaan beliau. Kelab ini telah berbelanja besar dan diuruskan dengan baik serta memiliki sebuah pasukan yang baik.

"Malangnya, Manchester United tidak mampu memiliki kesemuanya (kejayaan)."