Pengurus sementara Swansea, Alan Curtis, berkata kelab itu perlu segera mendapatkan pengganti Bob Bradley selepas tewas kepada Bournemouth 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

The Swans memecat Bradley selepas tewas dalam aksi sehari selepas Hari Natal kepada West Ham dan melantik Curtis untuk mengambil alih tugas sebagai pengurus sementara buat kali ketiga dalam kariernya.

Terdapat laporan mencadangkan pembantu jurulatih Bayern Munich, Paul Clement, bakal dilantik tetapi Curtis mahu perkara ini diselesaikan dalam kadar segera.

"Pengurus baru sangat diperlukan, kami memerlukan permainan yang segar. Saya akan bercakap dengan pengerusi kelab dan berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin," kata Curtis.

"Saya berharap pengurus mampu meningkatkan semula keyakinan pasukan."