Crouch pamer tarian robot buat kali terakhir

By Staff Writer 2 February 2017
Crouch pamer tarian robot buat kali terakhir

Peter Crouch mengakui dia berasa lega selepas berjaya menyumbat gol ke-100 dalam Liga Perdana Inggeris tatkala Stoke City terikat seri 1-1 dengan Everton, semalam.

Bekas penyerang England itu melakukan penyudah pada minit ketujuh perlawanan hasil hantaran Marko Arnautovic.

Crouch meledak gol ke-99 di pentas liga selepas membantu The Potters melakar kemenangan 3-1 ke atas Sunderland dua hari lalu dan pemain berusia 36 tahun itu mengakui berasa lega tidak perlu menunggu lama untuk melakar pencapaian itu.

"Saya lega kerana tidak perlu menunggu lama untuk menyumbang gol ke-100. Saya tidak mahu menunggu untuk beberapa perlawanan lagi," katanya kepada BBC Sport.

Crouch meraikan gol tersebut dengan gaya nostalgia -- melakukan tarian robot yang menjadi gaya peribadinya ketika beraksi bersama England hampir 10 tahun lalu.

Ketika ditanya mengenai sambutan itu, dia berkata: "Saya agak kaku. Sudah 10 tahun saya tidak melakukannya, mungkin sudah tiba masa saya bersara melakukan aksi itu. Saya hanya akan mengulanginya ketika majlis perkahwinan atau majlis lain."

Pengendali Stoke, Mark Hughes, turut menghamburkan pujian terhadap penyerang veteran itu.

"Saat yang hebat buat semua yang berada di stadium bagi meraikan kejayaan itu," dia memberitahu BBC Sport.

"Ramai pihak yang gemar bercakap tentang personalitinya tetapi di sebalik semua itu, dia seorang pemain bola sepak yang hebat.

"Cukup mengagumkan. Sejak dia kembali beraksi, prestasinya cukup baik. Everton sering kali gagal mengekang keunikan Crouch di atas padang."

About Author

Staff Writer

Comment