Crouch gantung but pada usia 38 tahun 

By Staff Writer 13 July 2019 1042
Crouch gantung but pada usia 38 tahun 
Peter Crouch mengumumkan persaraannya pada usia 38 tahun selepas mewakili England, Liverpool, Tottenham dan banyak kelab lain merentasi kariernya yang gemilang.

Crouch terkenal dengan ketinggiannya -- 6 kaki 7 inci -- dan banyak menghabiskan karier dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selain melakukan penampilan dalam dua edisi Piala Dunia pada 2006 dan 2010.

Kebolehan teknikal penyerang tengah itu jarang menjadi sebutan, namun masih mampu memberi impak besar ketika bersama beberapa kelab besar di England.

Namun, dia mendedahkan bahawa permainan hantaran tinggi menjadi faktor yang menyumbang kepada keputusan muktamadnya itu. 

Dalam kolum Daily Mail, Crouch menulis: "Sudah 23 tahun saya bersiap untuk menghadapi detik ini tetapi saya sedar ia bukanlah yang sempurna. Sudah tiba masanya saya dirujuk sebagai bekas pemain bola sepak. Ia satu perjalanan yang luar biasa sejak saya berusia 16 tahun.

"Cita-cita saya adalah untuk beraksi sehingga berumur 40 tahun, jadi ia sesuatu yang menakutkan untuk mengucapkan perkataan 'bersara'. Untuk membiasakan diri dengan peranan yang terhad, iaitu dimasukkan sebagai pemain gantian dalam baki 10 atau 15 minit permainan, adalah sukar diterima.

"Saya akan berumur 39 tahun pada Januari depan tetapi fizikal saya masih lagi cergas dan masih mampu untuk teruskan aksi. Cuma saya enggan lagi memainkan peranan dimasukkan hanya untuk menyambut bola tinggi."

Crouch menandatangani kontrak profesional pertamanya pada 1998 di Tottenham dan dua tahun selepas itu, dia berhijrah sebelum kembali pada 2009.

Dalam tempoh pertamanya di Spurs, Crouch sempat dipinjamkan ke Dulwich Hamlet dan kelab Sweden, Hassleholm -- dan mengakui permainannya semakin berkembang sejak itu. 

"Jujurlah bahawa anda sendiri pun tidak percaya saya akan berjaya melalui karier yang hebat," katanya.

"Pada ketika itu, sekiranya anda memberitahu bahawa saya akan bermain untuk England sebanyak 42 kali dan menjaringkan 22 gol, mewakili Liverpool dalam final Liga Juara-Juara (UCL) dan Piala FA serta menjaringkan gol yang meletakkan Tottenham kembali ke pentas Eropah buat kali pertama dalam tempoh empat dekad, pasti saya akan menyumbat anda dalam penjara."

Selepas meninggalkan Spurs buat kali pertama, Crouch menyertai Queens Park Rangers (QPR) sebelum menyertai Portsmouth dan Aston Villa, dan kemudian dipinjamkan ke Norwich City.

Perpindahan ke Southampton pada musim 2004-05 dengan rekod 12 gol Liga Perdana Inggeris (EPL) mengetuk pintu Liverpool untuk melamarnya. Dia kekal selama tiga tahun di sana sebelum beralih ke Portsmouth dan kembali ke Spurs.

Crouch kemudian kekal di Stoke City selama tujuh setengah tahun sebelum menutup kerjayanya di Burnley -- kelab yang sempurna untuk mengakhiri segala-galanya.

"Sebenarnya, Burnley merupakan tempat yang ideal untuk mengakhiri kerjaya," tulisnya. "Saya tidak mencipta impak yang besar selepas saya menyertai mereka pada Januari lalu tetapi saya sangat gembira. 

"Sean Dyche merupakan pengurus yang bagus dengan barisan pemain yang berkualiti, mereka menonjolkan persembahan yang hebat dan saya gemar membabitkan diri. Burnley sebuah kelab yang hebat."



 

About Author

Staff Writer

Comment