Bintang Liverpool, Philippe Coutinho, mahu diingati sebagai salah seorang legenda kelab itu selepas menandatangani kontrak lima tahun.

Pemain berusia 24 tahun itu telah dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona dan Juventus sebelum ini.

Bertandang ke Anfield pada tahun 2013, dia berhasrat untuk menjadi antara pemain terhebat dalam sejarah kelab itu.

"Saya faham betapa bermaknanya Liverpool kepada semua di sini. Kenny Dalglish, Ian Rush, Alan Hansen, Graeme Souness, Luis Suarez, Steven Gerrard merupakan pemain legenda.

"Saya sudah berada di sini untuk tempoh yang lama, jadi sudah tentu saya faham," Coutinho memberitahu Daily Mail.

"Selepas menandantangani kontrak baru, sasaran saya adalah untuk meninggalkan impak seperti mana pemain-pemain ini lakukan. Mereka pemain legenda.

"Kejayaan pemain akan diukur berdasarkan kesetiaan dan kejuaraan atau kedua-duanya. Untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan ini, masih banyak yang perlu saya lakukan.

"Saya mahu merangkul kejuaraan bersama Liverpool. Kontrak selama lima tahun akan memberikan saya peluang itu."

Coutinho telah pun meledak lima gol dan lima bantuan jaringan dalam 15 penampilan musim ini sebelum mengalami kecederaan buku lali.

Pernah dikaitkan dengan Barca, dia percaya Liverpool kini sekali lagi mampu menyaingi pasukan gergasi di Eropah.

"Saya percaya, pentingnya untuk menjumpai tempat di mana kamu mampu mempamerkan bakat, bermain tanpa rasa takut dan apabila kamu menjumpai tempat itu, kamu perlu kekal.

"Kelab ini, Liverpool, ada rancangan tersendiri. Saya mahu menjadi sebahagian daripada rancangan itu," ujar Coutinho.