Jurgen Klopp berasakan kembalinya Philippe Coutinho dan Jordan Henderson "mengembalikan kualiti" kepada Liverpool yang sedang membuat persiapan untuk berdepan Manchester United di Old Trafford, esok.

Coutinho kembali beraksi bersama The Reds ketika mereka tewas 1-0 di tangan Southampton pada Rabu lalu selepas direhatkan selama enam minggu kerana mengalami kecederaan buku lali manakala Henderson juga terlepas tiga perlawanan kerana masalah kecederaan tumit.

Joel Matip, yang merupakan seorang pemain berpengaruh, akan kembali berdepan United dan Klopp gembira menyaksikan perkembangan tiga pemain ini walaupun masih belum membuat keputusan akhir sama ada mereka akan beraksi ataupun tidak di Old Trafford.

"Coutinho dan Henderson akan mengembalikan kualiti di dalam pasukan," kata Klopp.

"Tanpa Phil, anda akan menrindui kelibatnya, kemahiran penyudah yang dimilikinya. Dia seorang pemain yang penting. Sama seperti Hendo.

"Kami telah berusaha sehabis mungkin untuk terus mempamerkan permainan berkualiti tanpa kelibat mereka sejak beberapa minggu sebelum ini.

"Kini, mereka sudah kembali, Coutinho, Henderson dan Matip sudah kembali menyertai sesi latihan. Saya berharap mereka akan beraksi berdepan United."