Tempat Diego Costa dalam skuad Sepanyol digantikan dengan Iago Aspas selepas penggempur Chelsea itu ditimpa kecederaan.

Costa yang dilihat menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Madrid semalam, bakal terlepas aksi Kelayakan Piala Dunia menentang Macedonia, hujung minggu ini.

Sepanyol mengesahkan pemain berusia 28 tahun itu telah pulang ke London tanpa menjelaskan punca sebenar kecederaannya.

Penyerang Celta Vigo, Aspas, dipanggil untuk mengambil tempatnya dan berpeluang untuk membuat kemunculan pertama di peringkat antarabangsa pada usia 29 tahun dalam aksi menentang Macedonia atau perlawanan persahabatan berdepan England, minggu depan.

Ketua jurulatih, Julen Lopetegui, mengakui Costa belum pulih sepenuhnya seperti yang diharapkan, biarpun beliau bercadang menggunakan khidmatnya untuk beberapa ketika.

Perkembangan itu memberi tamparan hebat kepada Chelsea, memandangkan Costa sudah meledak sembilan gol dalam 11 aksi liga untuk membantu skuad kendalian Antonio Conte itu menduduki tangga kedua liga.

Mereka akan menghadapi Middlesbrough, Tottenham Hotspur dan Manchester City selepas jadual perlawanan antarabangsa.