Jurulatih Chelsea, Antonio Conte, menegaskan dia mempunyai keyakinan terhadap Diego Costa biarpun kelibat penyerang itu agak tenggelam.

Costa hanya menjaringkan empat gol dalam 10 perlawanan terakhir dan terlepas peluang terhidang ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tewas mengejut 2-1 kepada Crystal Palace di laman sendiri, Sabtu lalu.

Namun, Conte menyatakan sokongannya kepada pemain antarabangsa Sepanyol itu, yang sudah meledak 17 gol dalam saingan liga musim ini, dan berkata prestasi pemain berusia 28 tahun itu tidak membimbangkannya.

"Diego melaksanakan tugasnya dengan baik musim ini," kata pengurus dari Itali itu.

"Dia seorang penyerang yang hebat dan menjadi nadi kepada situasi di jentera serangan. Saya tidak bimbang mengenainya. Saya mempercayainya.

"Dia seorang pemain yang hebat. Saya ulangi: anda menang dan anda kalah sebagai sebuah pasukan, bukan hanya kerana seorang pemain.

"Kami adalah sebuah pasukan dalam setiap keadaan, baik ketika menang atau kalah, saya pasti Diego dalam prestasi yang baik dan berbisa."

Selepas tumbang kepada Palace, perebutan gelaran EPL kembali terbuka, dengan Tottenham kini hanya tujuh mata di belakang skuad bimbingan Conte itu.

"Saya berasakan perbezaan di antara Chelsea dan Tottenham adalah: jika anda berada di Chelsea dan menang, ia adalah normal," kata Conte.

"Jika anda berada di Tottenham, jika anda menang ia hebat, tetapi jika anda kalah ... ia bukan bencana.

"Ia bukan bencana kerana mereka boleh mencari banyak alasan untuk menerangkan musim yang baik."

Chelsea akan menyambut Manchester City dalam pertembungan 'blockbuster' pertengahan minggu ini manakala Spurs akan menghadapi Swansea City di tempat lawan.