Antonio Conte memberitahu pengurusan Chelsea bahawa dia memerlukan tempoh empat tahun untuk membina sebuah kelab yang diimpikan mereka sambil menganggap kejayaan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu sebagai menakjubkan.

Pengurus berbangsa Itali itu menyaksikan misi mempetahankan gelaran bermula dengan langkah kiri apabila tewas 3-2 kepada Burnley di tempat sendiri manakala kad merah ke atas Gary Cahill dan Cesc Fabregas memburukkan lagi keadaan menjelang pertemuan dengan Tottenham Hotspur di Wembley, esok.

Conte juga sering menyatakan kekecewaannya dengan aktiviti perpindahan pemain musim ini, dengan hanya Alvaro Morata, Tiemoue Bakayoko dan Antonio Rudiger pemain utama yang tiba selain daripada penjaga gol simpanan, Willy Caballero.

Sebaliknya, Nemanja Matic, Nathan Ake, Juan Cuadrado, Asmir Begovic, Bertrand Traore, Christian Atsu dan Nathaniel Chalobah pula meninggalkan Stamford Bridge manakala seramai 20 pemain telah dipinjamkan ke kelab lain, sekaligus meletakkan Conte dalam situasi tidak punya banyak pilihan.

Conte mendakwa Chelsea berada dalam posisi lebih lemah berbanding Spurs susulan Mauricio Pochettino memiliki masa untuk membentuk pasukannya sambil meminta pengurusannya untuk bersabar dalam usahanya membentuk asas kejayaan berterusan.

"Kami memerlukan masa, kami memerlukan masa," kata Conte kepada pemberita.

"Untuk bersaing dalam Liga Juara-Juara, bersaing dalam kalangan terbaik dunia, anda perlukan masa.

"Saya masih mempunyai kontrak selama dua tahun lagi -- musim ini dan depan. Jika hubungan kami kekal dengan cukup baik dan visi yang sama, kami akan meneruskannya. Saya tidak nampak apa-apa masalah mengenai masa depan.

"Saya berasakan saya berada di kelab yang tepat di peringkat karier saya ketika ini.

"Saya mempunyai visi untuk dijalankan. Saya menjelaskan sekali lagi bahawa kami perlu meneruskan tugas.

"Adakala perlahan-perlahan untuk cuba membina sesuatu yang penting. Kalau ditanya bagaimana, jawapan saya adalah kami memerlukan masa. Secara jujurnya, kami memerlukan masa."