Antonio Conte tidak menyembunyikan perasaan terujanya selepas penyerang, Alvaro Morata, menjaringkan hatrik ketika membantu Chelsea menewaskan Stoke City 4-0 di tempat lawan, semalam.

Selepas kecewa gagal menjaringkan sebarang gol ketika menentang Arsenal sebelum ini, Morata membuktikan dirinya dahagakan jaringan apabila menjaringkan gol seawal minit kedua.

Dia melengkapkan hatrik pertamanya di England di penghujung perlawanan dan pengendali, Conte, gembira dengan persembahan hebat yang ditampilkan pemain-pemainnya.

"Ia adalah hari yang baik dengan keputusan yang baik. Stoke adalah pasukan yang bagus dan kuat.

"Sukar untuk menang di sini tetapi Morata menampilkan aksi hebat dan memukau. Saya gembira melihatnya mencatat hatrik dan dia perlu meneruskan prestasi itu.

"Kami perlu terus fokus dan saya rasa kami berhak memenangi perlawanan ini selepas menjaringkan gol awal dan mengawal permainan," kata Conte.

Enam jaringan yang dihasilkan Morata dalam saingan liga setakat ini memberi jawapan kepada persoalan sejauh mana dia dapat menyesuaikan diri di England untuk menggantikan tempat Diego Costa yang bersetuju untuk kembali ke Atletico Madrid.