Antonio Conte bertekad memastikan Chelsea mengelak daripada mengalami sindrom "musim Mourinho" dalam mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

The Blues meraih kejuaraan di bawah kendalian pengurus kelahiran Portugal itu pada 2015 sebelum Jose Mourinho dipecat pada tahun berikutnya selepas gagal memulakan musim baru dengan baik apabila menghuni kedudukan ke-16 pada bulan Disember.

Chelsea kembali mengisi kabinet trofi di bawah kendalian Conte musim lalu apabila meninggalkan pencabar, Tottenham Hotspur, tujuh mata di depan.

Conte -- yang kini bersama-sama anak buahnya kembali ke London selepas aksi pra-musim di China dan Singapura -- sedar bakal berdepan tekanan bagi mengelakkan nasib sama menimpanya.

"Kami sedar kesukaran musim mempertahankan kejuaraan, jadi sudah tentu kami mahu mengelak daripada apa yang berlaku ke atas Mourinho berulang," katanya.

"Dua tahun lalu, pasukan ini menamatkan musim di tangga ke-10, jadi kami enggan senario yang sama berlaku.

"Secara peribadi, saya mahu mengelak daripada apa yang berlaku dua musim lalu. Kerana dua jurulatih telah dipecat, seorang daripada Chelsea dan seorang lagi daripada Leicester City selepas mereka muncul juara liga.

"Buat masa ini, kami sedang bekerja dengan baik. Saya berharap kami akan mendapat penyelesaian terbaik dalam masa akan datang."