Conte sedia berbincang untuk tentukan masa depan anak buah

By Dom Farrell 28 January 2017
Conte sedia berbincang untuk tentukan masa depan anak buah
Ketua jurulatih Chelsea, Antonio Conte, mengakui perubahan formasi dengan mempertaruhkan tiga pemain pertahanan membuatkan Branislav Ivanovic tersisih dan secara tidak langsung menimbulkan spekulasi berhubung masa depan kapten Serbia itu di Stamford Bridge.

Ivanovic dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Russia, Zenit, sementara beberapa kelab Inggeris lain turut meminati khidmat pemain berusia 32 tahun itu. 

Conte ketika ini mengetengahkan formasi 3-4-2-1 sejak dibelasah Arsenal 3-0 dan ia menjadi pemangkin kepada mereka untuk menerajui Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Sejak kekalahan kepada Arsenal itu, Ivanovic hilang tempat dalam kesebelasan utama dan Conte mendedahkan perpindahan mungkin berlaku buat bekas tonggak Lokomotiv Moscow itu sebelum jendela perpindahan musim sejuk tamat. 

"Saya tidak pasti kerana masih ada empat hari lagi (tarikh akhir perpindahan). Bulan ini, banyak spekulasi yang timbul," katanya dalam sidang media. 

"Saya tidak tahu apa yang berlaku. Ada ketikanya, anda (media) tahu lebih banyak daripada saya. 

"Ivanovic telah berjasa kepada saya. Dia mengharungi perlawanan berbeza dalam kesebelasan utama. 

"Saya merombak bahagian pertahanan, ia satu perubahan dan sudah tentu saya perlu membuat keputusan -- memilih 11 pemain. 

"Saya tetap memikirkan dia sentiasa memberi sumbangan kepada skuad ini."

Peluang terhad turut dihadapi ketua pasukan, John Terry dan Cesc Fabregas, sementara Oscar sudah pun angkat kaki dengan menyertai Shanghai SIPG.

"Dalam situasi ini, bukankah lebih baik berbincang dengan pemain.

"Untuk mengetahui sama ada mereka mempunyai idea dan visi berbeza untuk masa kini serta masa hadapan. 

"Untuk menyediakan jawapan kepada pihak lain bukan perkara wajar."

Dalam pada itu, Conte bersimpati dengan hasrat pemain tengah, Ruben Loftus-Cheek, kerana tidak dibenarkan meninggalkan The Blues secara pinjaman. 

Ini kerana Conte menagih khidmat pemain itu sambil mengingatkan para pemain lain agar sedar kedudukan mereka di puncak liga menyebabkan jurulatih dari Itali itu mahu mengekalkan momentum mereka. 






About Author

Dom Farrell

Comment