Antonio Conte berterima kasih kepada Olivier Giroud selepas penyerang Perancis itu memberi kesan memberangsangkan dalam penampilan sulung bersama Chelsea ketika melayani kunjungan West Brom, awal pagi tadi.

Dua jaringan Eden Hazard serta satu gol Victor Moses pada minit ke-63 membantu juara bertahan itu kembali di landasan kemenangan menerusi keputusan 3-0 awal pagi tadi, sekali gus memadam kekalahan besar kepada Bournemouth dan Watford, tempoh hari.

Selepas permulaan yang sukar, Giroud memainkan watak penyerang tunggal dalam pembikinan gol pembukaan Hazard yang menjadi alasan utama Conte menandatanganinya pada bulan lalu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Diego Costa yang memilih kembali ke Atletico Madrid.

"Kami harus gembira dengan prestasi Giroud, ini adalah kali pertama dia bermain dalam kesebelasan utama," kata Conte sejurus perlawanan.

"Dia perlu meningkatkan permainannya, watak Olivier sangat penting.

"Giroud baru pulih daripada masalah otot, jadi adalah penting dia serasi dengan idea bola sepak kami untuk berada di kedudukan yang tepat. Jaringan pertama perlawanan ini adalah contoh yang jelas tentang idea kami."

Alvaro Morata turut berada di bangku simpanan Chelsea selepas hampir sebulan tersisih akibat kecederaan belakang. Pemain antarabangsa Sepanyol itu mendapat kesempatan selama setengah jam apabila menggantikan Giroud -- yang dikeluarkan dengan kepala berbalut -- selepas berlaga dengan pertahanan tengah West Brom.

"Kami sangat gembira kerana Morata bermain dengan sangat baik dalam tempoh 30 minit terakhir menerusi karakter dan kepantasan yang hebat," kata Conte lagi.

"Perkara paling penting bagi kami, kedua-duanya berada dalam keadaan fizikal yang terbaik.

"Morata telah menderita selama sebulan akibat kecederaan belakang dan saya harap kami menyelesaikan masalah ini," tambahnya.