Antonio Conte mempertahankan Alvaro Morata daripada kecaman selepas Chelsea terikat seri tanpa jaringan berdepan Arsenal dengan berpendapat seorang pemain penyerang masih mampu bermain dengan baik meskipun gagal melakar jaringan.

Morata gagal merakamkan sebarang jaringan selepas menyumbang tiga gol dan dua bantuan jaringan dalam Liga Perdana Inggeris setakat ini.

Meskipun bermula baik di Chelsea, ada yang berpendapat Morata perlu meningkatkan lagi kekuatan fizikalnya, terutama selepas aksi malam tadi.

Bagaimanapun, Conte menepis sebarang kritikan yang dilontarkan terhadapnya dengan menegaskan dia berpuas hati dengan persembahan pemain itu ketika berdepan skuad kendalian Arsene Wenger.

"Saya tidak tahu sama ada fizikalnya mendatangkan masalah," kata Conte ketika sidang media.

"Bagi saya, Morata bermain dengan cukup baik.

"Saya amat gembira dengan persembahan ini. Bagi saya, dia bermain dengan cukup baik. Dia banyak memegang bola dan cuba mengedarkannya kepada Willian, Pedro dan pemain bek kiri dan kanan.

"Dia bermain dengan baik. Kami kekal fokus, tidak kira sama ada pemain penyerang mencetak jaringan atau tidak.

"Saya gembira dengan persembahannya."