Ketua jurulatih Chelsea, Antonio Conte, percaya Eden Hazard berada dalam landasan tepat untuk menjadi salah seorang pemain terbaik dunia.

Hazard semakin melupakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mengecewakan musim lalu, sejak dia ditabalkan Pemain Terbaik Musim 2014-15.

Pemain itu mempamerkan kebangkitan prestasi dengan menyumbat lima gol dan satu bantuan gol dalam kempen liga musim ini untuk membantu meletakkan pasukannya di tangga keempat saingan EPL.

Tidak hairanlah Conte memuji Hazard dengan memberitahu media United Kingdom (UK) dengan berkata, "Kami semua sedar bakat yang dimiliki Eden.

"Dia perlu meneruskan usahanya dan memperbaiki bakatnya. Buat masa ini, dia mencurahkan bakatnya dan menempatkan dirinya dalam pasukan.

"Ia sesuatu yang hebat. Ini adalah cara yang betul untuk muncul sebagai salah seorang pemain terhandal di dunia."

Peningkatan prestasi Hazard itu hasil ramuan Conte yang memberikannya lebih banyak ruang untuk mengasak di depan gol.

Bekas jurulatih Juventus itu berkata,"Eden beraksi lebih dekat dengan pintu gol lawan.

"Dia lebih banyak terlibat dalam situasi serangan. Saya berasakan adalah lebih baik untuknya terlibat dalam situasi sebegitu, di mana dia akan kekal di posisi untuk menyudahkan peluang berbanding musim lalu.

"Untuk itu, saya berasa dan mahukannya meneruskan aksi seperti ini."