Jamie Carragher menyifatkan Antonio Conte mampu menjadi pengganti ideal untuk Arsene Wenger apabila pengendali veteran itu mengambil keputusan meninggalkan Arsenal.

Wenger menandatangani kontrak selama dua tahun untuk terus kekal di Stadium Emirates pada Mei lalu tetapi gagal melakar sebarang kejuaraan liga sejak musim 2003-2004.

Malah, The Gunners kini tanpa sebarang kemenangan dalam lima perlawanan berturut-turut (semua pertandingan) serta dilihat sekali lagi gagal melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Conte -- dilaporkan kecewa dengan polisi perpindahan Chelsea -- turut menandatangani kontrak baru pada penghujung musim lalu dan kerap dikaitkan dengan beberapa pasukan, termasuk kembali mengurus skuad kebangsaan Itali dan AC Milan.

Carragher percaya Arsenal perlu mengambil Conte sebagai pilihan utama apabila Wenger mengambil keputusan untuk tidak lagi memimpin kelab itu.

"Saya boleh membayangkan Real Madrid bercadang untuk mengambil Conte sebagai pengganti Zinedine Zidane, yang juga berada dalam kedudukan yang tertekan setakat ini. Skuad kebangsaan Itali turut merayu untuk mendapatkan semula khidmat Conte selepas mereka gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2018," kata Carragher.

"Kualiti yang dimiliki Conte mampu menjadi satu nafas baru buat Arsenal jika Wenger mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan itu nanti. Beliau adalah pilihan terbaik.

"Bagaimanapun, Conte terlalu bagus untuk dilepaskan oleh Chelsea. Mereka akan berusaha untuk memastikan beliau kekal, dia masih mampu menghasilkan kejayaan bersama kelab.

"Tetapi jika Chelsea mengambil keputusan untuk melepaskan Conte, Arsenal perlu mengambil langkah mendapatkannya," katanya lagi.