Antonio Conte tidak meletakkan harapan tinggi terhadap usul perpindahan pemain yang dihajatinya berikutan "jarang diberi pemain seperti yang dimintanya", selepas pengurus Chelsea itu diajukan soalan mengenai perancangannya dalam jendela perpindahan bulan ini.

Chelsea mencatat keputusan seri 2-2 dalam aksi menghiburkan di Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi, namun perhatiannya akan beralih kepada jendela perpindahan yang kembali menjengah.

Juara bertahan, Chelsea, telah dikaitkan dengan pemain tengah Bayern Munich, Arturo Vidal, kerana Conte kelihatan berminat untuk kembali menjalin kerjasama dengan bekas bintang Juventus itu sementara Thomas Lemar dari AS Monaco juga dikaitkan.

Bagaimanapun, Conte berkata melalui Sky Sport Italia: "Saya tidak meletakkan harapan tinggi dengan permintaan saya, terutama dengan sejarah saya yang jarang diberikan pemain yang saya minta.

"Saya selalu berada di kelab yang menjalankan program penjimatan.

"Saya hanya cuba untuk melakukan tugas saya. Jika seseorang pemain tiba, itu bagus, jika tidak, saya juga perlu meneruskan tugasan saya."

Sementara itu, pengendali dari Itali itu menggesa ayam tambatannya, Alvaro Morata, agar bekerja keras untuk memperkemaskan sentuhan penyudahnya selepas terlepas deretan peluang.

Dalam pertembungan di Stadium Emirates itu, jaringan Eden Hazard dan Marcos Alonso memastikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati untuk berkongsi satu mata selepas Arsenal bangkit dengan gol Hector Bellerin pada penghujung permainan.

Jack Wilshere terlebih dahulu memecah kebuntuan perlawanan pada minit ke-63.

Morata hanya meledak gol dua kali dalam lapan perlawanan terakhir membabitkannya.

"Adalah menyedihkan apabila anda mempunyai banyak peluang, maka anda harus memenangi perlawanan itu. Sebaliknya, kami bercakap mengenai keputusan seri yang baik ketika bertemu sebuah pasukan yang bagus," katanya lagi.

"Dia tidak bernasib baik pada ketika ini. Dia harus terus berusaha untuk meningkatkan prestasi. Walaupun sedih dia gagal memanfaatkan banyak peluang terhidang, dalam masa sama saya sangat gembira dengan usaha dan komitmennya.

"Kami patut kecewa, saya dan pemain-pemain. Kami mempunyai peluang untuk menang dan kami memang layak."

Chelsea kini menduduki tangga ketiga EPL, satu mata di belakang Manchester United dan 16 mata di belakang pendahulu, Manchester City, selepas 22 perlawanan.