Antonio Conte menggesa Chelsea untuk memastikan masa depan Thibaut Courtois kekal di Stamford Bridge secepat mungkin.

Kontrak penjaga gol nombor satu The Blues itu bakal berakhir pada penghujung 2019 dan Courtois telah meluahkan hasratnya untuk melanjutkan kontrak bersama pasukan.

Bagaimanapun, Courtois dilaporkan masih belum mencapai persetujuan dengan kelab dan tawaran baru akan diberikan pada penghujung musim ini.

Selepas Real Madrid berminat mendapatkan khidmat penjaga gol Belgium itu, masa depan Courtois dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin samar.

Conte menjelaskan situasi ini dan meminta kelab untuk memastikan aset mereka tidak meninggalkan pasukan.

"Courtois adalah salah seorang pemain terbaik dalam kalangan penjaga gol terbaik dunia," kata Conte.

"Dia memiliki potensi untuk menjadi penjaga gol nombor satu dunia.

"Walaupun masih muda, dia mempamerkan aksi yang mantap dalam setiap perlawanan.

"Saya berharap dia akan bersetuju dengan kontrak yang bakal ditawarkan kepadanya.

"Ia adalah tanggungjawab kelab bagi memastikan Courtois kekal bersama pasukan. Dia merupakan pemain yang penting buat Chelsea," jelasnya.