Antonio Conte bersemangat untuk membuktikan Alex Ferguson silap selepas bekas pengendali Manchester United itu berkata tiada harapan buat Chelsea menjulang takhta liga musim ini.

Walaupun United dibelasah Chelsea 4-0, Ferguson menetapkan pendirian dengan memilih Manchester City, Tottenham, Liverpool, Arsenal dan bekas kelabnya sebagai pasukan pilihan memenangi Liga Perdana Inggeris.

Chelsea kini berada di tangga kelima, hanya kurang empat mata daripada pendahulu liga, bakal berdepan Southampton, dan Conte berkata masih terlalu awal untuk menolak kemungkinan pasukannya akan menyertai saingan perebutan takhta liga.

"Saya menghormati apa yang dikatakan oleh Ferguson tetapi kami menyedari kemampuan kami," jelas Conte.

"Kami telah banyak mempertingkatkan permainan serta bermain sebagai satu unit dan jika kami mampu meneruskan momentum ini, kami mampu mencipta sesuatu pada penghujung musim nanti.

"Sasaran kami adalah untuk sentiasa bermain dan memenangi setiap perlawanan.

"Saya cuba untuk memberitahu kepada pemain-pemain saya pada setiap masa, setiap minggu, setiap perlawanan.

"Masih terlalu awal lagi untuk menentukan apa yang bakal terjadi pada penghujung musim nanti, kami tidak bermain dengan baik ketika bertemu Arsenal dan Liverpool tempoh hari."