Antonio Conte percaya dia berjaya mengekalkan komitmen keseluruhan skuad Chelsea selepas persembahan mereka dikritik oleh bekas pemain tengah Manchester United, Roy Keane.

Chelsea kembali memenangi perlawanan dengan kemenangan 3-0 ke atas West Brom dalam Liga Perdana selepas kekalahan mengejut kepada Bournemouth dan Watford, sehingga membawa spekulasi baru terhadap masa depan Conte.

Ketika ini, penyandang juara Liga Perdana itu menduduki tangga keempat, 19 mata di belakang Manchester City dengan baki 11 perlawanan dan Keane mempersoalkan usaha Chelsea untuk mempertahankan gelaran mereka kali ini kerana pernah mengalami kejatuhan dramatik yang menyaksikan Jose Mourinho dipecat sebelum Krismas pada 2016.

"Pemain Chelsea sangat tidak profesional," kata Keane kepada ITV Sport. "Apabila mereka memenangi liga dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mereka telah menggunakan khidmat pengurus yang berbeza. Tindakan ini mengejutkan."

Bagaimanapun, Conte -- yang bersetuju menunaikan permintaan ketua pasukan, Gary Cahill, agar pemainnya diberi rehat selama tiga hari bagi tujuan pemulihan sebelum menghadapi West Brom -- menegaskan tidak ada masalah di Stamford Bridge mengenai usaha dan kaedah mereka.

"Setiap masa, saya menekankan komitmen pemain," katanya dalam sidang media menjelang aksi pusingan kelima Piala FA menentang Hull City, awal pagi esok.

"Saya fikir dalam tempoh 18 bulan ini, kami telah membina mentaliti yang hebat. Dalam setiap sesi latihan, saya melihat komitmen dan tingkah laku yang hebat."

Dua pemain yang mampu melenyapkan kritikan Keane itu adalah Alvaro Morata dan rekrut baru, Olivier Giroud.

Giroud memperagakan peranan memberangsangkan ketika berdepan West Brom sebelum digantikan dengan Morata, yang membuat kepulangan tak terduga selepas dilanda kecederaan belakang.

Conte percaya persaingan untuk memainkan peranan nombor sembilan akan mengubah nasib The Blues.

"Pada ketika ini, setiap saat, sangat penting untuk memiliki khidmat pemain, semua pemain perlu bersedia," kata bekas pengurus Juventus itu yang diganggu semasa sidang media apabila seorang peminat dari Itali, Stefano Conti, mengusiknya dengan menghadiahkannya jersi Manchester United yang ditandatangani oleh Jose Mourinho dengan cetakan nama "Antonio Conte 1" di bahagian belakang.

"Morata dan Giroud merupakan dua pilihan yang sangat penting bagi kami. Buat masa ini, kami cuba menggunakan Eden Hazard sebagai pemain nombor sembilan."

Ditanya sama ada Morata dan Giroud boleh digandingkan bersama, Conte menambah: "Saya fikir pada masa akan datang, ya, ia boleh berlaku jika kami memutuskan untuk bermain dengan tiga pemain tengah.

"Sepanjang permainan, ia boleh berlaku tetapi buat masa ini, saya fikir masih terlalu awal untuk menjawab persoalan ini.

"Jangan lupa bahawa kami bermain dengan sistem (3-4-2-1) sejak musim lalu. Dengan sistem ini, maksudnya Hazard, Pedro dan Willian sudah terkeluar."

Ross Barkley (hamstring) akan terlepas lawatan ke Hull sementara David Luiz dan Tiemoue Bakayoko gagal pulih daripada kecederaan ringan.