Jurulatih Chelsea, Antonio Conte, tidak peduli Eden Hazard tidak gembira sekiranya digantikan dalam perlawanan sambil menyatakan keutamaannya adalah untuk memenangi perlawanan.

Hazard terlepas aksi pra-musim akibat masalah pergelangan kaki ketika dalam tugasan antarabangsa bersama Belgium pada Jun lalu, sekaligus hanya membuat penampilan pertama musim ini pada 9 September.

Minggu lalu, pemain berusia 27 tahun itu menyatakan dia mempunyai masa depan yang panjang bersama Chelsea di sebalik minat yang ditunjukkan Real Madrid. Dia hanya menamatkan aksi penuh 90 minit dalam lapan perlawanan daripada 28 penampilannya musim ini.

Penyokong menyatakan tidak puas hati ketika Hazard dikeluarkan dalam aksi 0-0 menentang Leicester City, Sabtu lalu, namun Conte enggan terlalu mengerah kudrat pemain Belgium tersebut.

"Kami bercakap tentang pemain yang baru-baru ini mengalami kecederaan teruk di pergelangan kaki sehingga memerlukan pembedahan.

"Apabila anda mempunyai situasi seperti ini, anda perlu memberi perhatian khusus kerana mereka boleh mengalami kecederaan," katanya menjelang aksi Piala FA awal pagi esok -- perlawanan ulangan menentang Norwich City.

"Dia terlepas kempen pra-musim bersama kami, maka kami bersama-sama berusaha mencari jalan terbaik. Adalah normal jika pemain tidak berada dalam kemuncak prestasi tetapi tugas saya adalah cuba memperbaikinya dan cuba meletakkan keadaan fizikalnya di tahap terbaik serta membuat keputusan yang terbaik untuk pasukan," jelasnya.

Ditanya sama ada Hazard bersetuju dengan pendekatan itu, Conte yang berasa jengkel menjawab: "Ini tidak penting, saya jurulatih, saya memutuskannya, tidak penting jika pemain gembira atau tidak, hanya di sini (di England) timbul situasi ini.

"Anda sangat bimbang sama ada pemain gembira atau tidak. Ini tidak penting.

"Tugas utama saya adalah untuk melakukan yang terbaik untuk pemain dan kelab, bukannya membuat setiap pemain berasa bahagia. Jika tidak, kami akan menghadapi risiko mengakhiri kempen di tangga ke-20.

"Dalam setiap sidang akhbar, selalunya ada soalan mengenai sama ada saya bimbang untuk membuat pemain saya gembira. Tidak, saya bimbang untuk menang."