Conte: Kemarau gol beri kelebihan buat Morata

By Staff Writer 30 March 2018 2333
Conte: Kemarau gol beri kelebihan buat Morata
Pengurus Chelsea, Antonio Conte, berpendapat Alvaro Morata mampu mengambil kesempatan daripada kegagalan mencipta gol sejak akhir-akhir ini.

Morata tiba di Stamford Bridge menerusi satu perpindahan yang memecahkan rekod pasukan dan mengutip 10 gol dalam liga pada penghujung 2017.

Bagaimanapun, penyerang Sepanyol itu gagal menambah jumlah tersebut sehingga menjaringkan gol ketika membantu The Blues menewaskan Leicester City 2-1 bagi aksi Piala FA, sekali gus menamatkan rentetan 13 perlawanan tanpa jaringan.

"Tempoh yang dilalui Morata amat penting," kata Conte menjelang pertemuan dengan Tottenham Hotspur pada Ahad ini.

"Saya rasa dia bekerja keras pada minggu lalu dan ketika ini. Dia perlu melakukannya kerana perlu diingat, dia terlepas banyak perlawanan akibat kecederaan belakang.

"Kini, dia telah 100 peratus cergas dan bersedia untuk menghadapi baki kempen bersama Chelsea dan meraih peluang menyertai Sepanyol ke Piala Dunia," katanya.

Bekas penyerang Real Madrid itu gagal menarik perhatian pengurus Sepanyol, Julen Lopetegui, ketika mereka mengikat Jerman 1-1 minggu lalu dan membelasah Argentina 6-1 bagi aksi persahabatan, Selasa lepas.

Situasi itu bermakna dia menerima nasib sama seperti kapten Chelsea, Gary Cahill, selepas terlepas aksi bersama England untuk menentang Belanda dan Itali.

Cahill tidak menjadi pilihan utama di Stamford Bridge walaupun kecergasan Andreas Christensen dan David Luiz tidak berada pada tahap terbaik, namun dia dijangka kembali membarisi benteng The Blues pada Ahad.

"Kita bercakap tentang dua pemain yang hebat dan saya pasti mereka masih berpeluang untuk disenaraikan ke Piala Dunia.

"Keputusan pengendali pasukan kebangsaan harus dihormati tetapi kedua-dua pemain ini tentu bersedia untuk aksi di Russia," ujarnya lagi.
 

About Author

Staff Writer

Comment