CHELSEA 1 WEST BROM 0

Antonio Conte percaya Chelsea memberikan yang terbaik ketika menang 1-0 ke atas West Brom dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun menghadapi kesukaran untuk menembusi benteng pertahanan mereka.


Skuad kendalian Conte kembali ke persada liga pada Ahad dengan gol ke-12 Diego Costa pada minit ke-76 sudah memadai untuk membenam pasukan pelawat.

"Kami mengetahui pasukan lain cuba untuk mematahkan permainan kami dan sebab itu kami perlu bermain dengan penuh kesabaran," ujar Conte kepada BBC Sport.

"Kemudian, kami harus memberikan tumpuan dan cuba untuk mengelak daripada serangan balas pasukan lawan. Kami telah mempamerkan permainan yang baik dan berhak memenangi perlawanan ini.

"Kami telah memenangi sembilan perlawanan berturut-turut, ia adalah satu pencapaian yang menakjubkan kerana saingan liga ini sangat sengit."

Prestasi Costa dilihat sudah kembali ke tahap terbaiknya apabila meledak 12 gol dalam 15 penampilan musim ini.

Conte berpuas hati dengan persembahan Costa dan berharap bekas penyerang Atletico Madrid itu mampu mengekalkan momentum dalam perlawanan akan datang.

"Costa merupakan penyerang yang berbisa, dia bermain dengan baik kerana bekerja keras untuk pasukan."